Tuesday, April 8, 2014

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Perkembangan Ilmu Kalam







Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan ilmu kalam. Iaitu ada sebahagiannya faktor daripada suruhan al-Quran sendiri dan ada juga faktor-faktor dalaman yang berkaitan dengan umat Islam itu sendiri, malah terdapat juga faktor-faktor luaran yang turut mempengaruhi perkembangan ilmu kalam tersebut.

Faktor Al-Quran

Al-Quran mengharuskan kita sebagai kaum Muslimin berusaha mengembangkan agama dan membela agama Islam. Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh memeluk agama Islam dan mengimani segala aturan-aturannya sahaja tanpa berusaha untuk mengembangkan ajaran Islam itu dan memperkukuhkan lagi Islam pada pandangan masyarakat. Seperti mana Allah SWT berfirman dalam surah An-Nahl ayat 125 :

125. serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.
Firman Allah SWT yang lain dalam surah Ali Imran ayat 104 :    
                                                 
104. dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

 Faktor Dalaman

Faktor-faktor dalaman ialah faktor yang mana kembali kepada umat Islam sendiri. Iaitu kemenangan yang mereka peroleh dalam peperangan dan kemewahan hidup menyebabkan mereka merasa aman tinggal di dalam negeri masing-masing dan mereka mempunyai masa lapang dan iaitu sempat untuk membahas masalah-masalah agama secara pembahasan falsafah yang tidak terbatas.

Bahawasanya pada asalnya akidah itu sangat sederhana keadaannya, ia tidak di bahas dan didiskusikan. Kemudian sesudah itu barulah diadakan perbahasan terhadapnya dan timbullah perbezaan pendapat serta muncullah aliran-aliran yang bertentangan satu sama lain untuk menguatkan pendapat-pendapat yang berlawanan itu.

Hal ini terjadi pula terhadap aqidah Islamiyah. Semasa zaman ulama salaf, tiada sebarang perbahasan mahupun perbincangan mengenai masalah qada’ dan qadar. Namun begitu, setelah berkembang ilmu kalam barulah muncul persoalan tentang qada’ dan qadar dan ia dijadikan objek perbahasan utama.
Selain itu, masalah politik dan perselisihan-perselisihan pendapat antara sesama Islam yang membawa kepada berbagai-bagai aliran. Permulaan perselisihan terjadi di akhir zaman pemerintahan Uthman yang mengakibatkan Uthman di bunuh tanpa melalui badan hukum.

Akibat dari pembunuhan itu maka muncullah umat Islam berani menambah-tambahkan agama dan mengemukakan alasan yang sengaja dibuat-buat untuk menguatkan pendirian. Masalah-masalah politik diselaputi dengan agama, adalah kerana pada zaman tersebut pengaruh agama masih sangat kuat mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Maka mereka menerapkan nas-nas itu dengan kejadian dan peristiwa yang sedang berlaku.

Dapat dilihat pada zaman tersebut, ada di antara ahli-ahli politik yang mempergunakan jiwa keagamaan ini untuk memikat hati rakyat. Maka mereka bergerak dengan dalil mempertahankan agama. Situasi ini terbukti berjaya mempengaruhi jiwa rakyat. 

Faktor Luaran

Kebanyakan orang yang memeluk agama Islam selepas pengalahan kota Makkah, adalah orang-orang yang sudah menganut agama lain dan telah terdidik dan dibesarkan dalam agama tersebut. Oleh demikian itu berlakulah penyerapan adat kebudayaan dan kepercayaan agama mereka yang dahulu meresap ke dalam aliran agama Islam. Malah ada sebahagian daripada ulama mereka sengaja menambah ajaran-ajaran bukan Islam ke dalam ajaran Islam tersebut. Oleh sebab itu, terdapat banyak aliran-aliran yang mendakwa mereka Islam tetapi mengamalkan prinsip yang bercanggah dari Islam bahkan sama sekali tiada hubungan dengan Islam. Seperti mazhab Tanasukh yang mana asalnya adalah dari kaum Brahma. 



No comments:

Post a Comment